Friday, January 22, 2010

Perkenal Makanan Pejal pada Si Manja

Masa terbaik untuk memberikan makanan pejal bergantung kepada kesediaan setiap bayi. Secara umumnya kanak-kanak memerlukan makanan pejal apabila kalori daripada susu sudah tidak mencukupi. Keperluan ini boleh dilihat apabila bayi boleh menghabiskan sebotol penuh susu tetapi berasa lapar semula dalam masa dua atau tiga jam kemudian. Ini biasanya berlaku pada usia enam bulan. Saya memperklenal makanan pejal pada Aisyah semasa umurnya 6 bulan. Tetapi bermula dengan pisang masak yang dilenyek terlebih dahulu. Tapi Princes Aisyah ni bukanlah jenis yang suka makan tetapi jenis yang banyak minum susu. Bayi yang lebih kecil (kurang enam bulan) sukar menelan makanan pejal walaupun sesetengahnya boleh menelan makanan pada usia lebih muda jika makanan diletakkan di belakang lidah. Ada ibu bapa memaksa bayi kecil untuk makan banyak makanan pejal dengan harapan anak akan tidur lena sepanjang malam. Bagaimanapun, ia bukan langkah baik kerana boleh menyebabkan anak anda mendapat radang paru-paru (pneumonia) dan masalah makan kemudian hari. Kebanyakan bayi makan makanan pejal selepas menyusu kerana dapat memuaskan kehendak mereka untuk menghisap puting dan pada masa sama mengatasi rasa lapar. Bayi dan kanak-kanak kecil lebih mudah mengalami masalah alahan atau tidak toleran terhadap makanan berbanding kanak-kanak besar dan orang dewasa. Jika banyak jenis makanan diberi pada satu masa, agak susah untuk menentukan makanan mana yang menyebabkan reaksi alahan. Justeru, anda sepatutnya memperkenalkan jenis makanan secara berperingkat; satu jenis untuk satu minggu. Jika ia boleh diterima dengan baik barulah perkenalkan makanan lain kepada bayi anda. Melalui cara ini, anda boleh mengenalpasti makanan mana yang boleh menyebabkan alahan pada anak. Mulakan dengan bijirin diikuti buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan lain seperti sumber protein (daging) diperkenalkan lebih lewat iaitu apabila anak berusia tujuh bulan. Beri anak makan melalui sudu supaya bayi anda boleh belajar teknik pemberian makanan yang baru. Pada umur enam hingga sembilan bulan, kanak-kanak biasanya sudah pandai memegang makanan dan membawanya ke mulut. Jadi mereka perlu digalakkan untuk makan sendiri. Anda perlu berhati-hati kerana bayi mudah tersedak atau tercekik oleh makanan keras seperti kacang, lobak mentah, gula-gula atau biskut kraker. Elakkan makanan ini. Jika mahu diberikan, pastikan ia dikisar. Anda boleh menyediakan sendiri makanan untuk si kecil dan langkah ini lebih menjimatkan. Walaupun bayi suka makanan manis, tetapi gula bukanlah nutrien yang penting dan sepatutnya diberikan dalam kuantiti kecil; jika perlu. Jika tidak, jangan perkenalkan gula kepada anak anda. Jangan berikan sajian manis kerana tidak bermanfaat untuk anak anda. Jangan berikan anak anda makanan pejal terlalu awal dan sebaiknya tunggu bayi berumur antara empat hingga enam bulan. Perkenalkan sedikit makanan baru kepada bayi apabila dia lapar iaitu sebelum dia diberikan susu. Kemudian, perlahan-lahan tambah kuantiti makanan untuk anak anda. Jangan biarkan neofobia (takut kepada makanan baru) melanda anak anda. Jangan paksa anak untuk menerima makanan baru tetapi perlahan-lahan ajak dia makan. Ingat, susu sudah cukup untuk membekalkan keperluan anak sehingga dia berusia enam bulan. Paling penting, jadikan masa makan sebagai masa yang menyeronokkan. Kasih sayang dan perhatian anda akan merangsang anak untuk makan dan menikmati suasana seronok bersama keluarga.

No comments:

Post a Comment